Sunday, 15 December 2013

KONSEP TA'DIB: TERAS FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM



Krisis keruntuhan akhlak dilihat bagaikan satu fenomena yang tidak asing lagi. Badai modenisme yang menghambat dunia tanpa sempadan telah berjaya menyelinap masuk ke dalam rohani masyarakat. Hambatan ini telah menyerang jati diri, akhlak, maruah dan akidah terutama dikalangan remaja yang dilihat begitu ghairah mengejar duniawi.




SIAPA YANG HARUS DIPERSALAHKAN?

Prof. Dr. Syed Muhmmad Naguib Al-Attas mengutarakan bahawa keruntuhan akhlak ini seharusnya di beri perhatian serius oleh warga pendidik. Keruntuhan adab adalah bermula dari masalah kekeliruan ilmu yang berpunca dari pengaruh kebudayaan barat terhadap worldview Islam. Tamadun barat yang berkembang selari dengan modenisasi telah berjaya menyuntik secara halus ke dalam bidang ilmu kemanusiaan seperti sejarah, psikologi, sastera dan ekonomi yang tanpa disedari bertentangan dengan nilai keIslaman menurut Shariat-Nya.

Konsep pendidikan moden bermatlamat melahirkan warganegara yang dapat menyumbangkan kepakaran untuk kepentingan sosio-ekonomi negara (human capital) lebih memfokuskan kepada duniawi dan kemewahan. TETAPI pendidikan Islam berhasrat untuk melahirkan insan adabi yang menunaikan tuntutan fardhu kifayah dan fardhu ain.

Islam mendidik manusia untuk mendisiplinkan diri dengan adab terutama kepada dirinya sendiri. Melalui didikan adab, individu itu dapat mengawal jasmani dan rohani malah menunaikan hak kepada keluarga dan masyarakat. Contohnya, Solat Fardhu lima waktu yang wajib ditunaikan adalah salah satu disiplin ilmu yang kita terlepas pandang. Allah mewajibkan solat untuk melatih umat manusia untuk menepati waktu, melakukan rukun solat dengan tertib adalah disiplin ilmu yang tidak ketara telah melatih dalam perbuatan, perkataan, akidah dan niat.



Selain itu, melahirkan insan Ta’dib (mulia) berpandukan kepada fahaman Al-Quran. Al-Quran adalah sumber ilmu yang menyempurnakan akhlak. Proses ini perlu dilakukan dari peringkat bayi lagi, ibu bapa harus menyemai keperibadian baik untuk dicontohi oleh pewaris mereka bak kata pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya.” Oleh itu, persiapan awal perlu dalam mencorak anak dengan ilmu pengenalan dan pengetahun yang ke duanya tidak lari dari pengajaran ilmu yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah bagi kegunaan dunia dan akhirat.

Justeru itu, mendidik anak harusnya berterusan dan sentiasa peka akan sekeliling kerana generasi sekarang lahir dalam dunia teknologi tanpa sempadan. Remaja sentiasa leka akan kesenangan dunia, kehidupan modenisasi dan pengaruh teknologi telah berjaya menyesatkan akidah dan jati diri mereka. Melalui bimbingan agama yang kuat dan pantauan yang ketat dari pendidik yang menjamin kehidupan sempurna dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment